Semua Raja-raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri secara
automatik menjadi Anggota Majlis Raja-raja. Kehadiran adalah mustahak.
Jika atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, seseorang anggota
tidak dapat berangkat hadir, maka seorang wakil hendaklah dilantik oleh
Anggota itu mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri/Tubuh bagi sesuatu
Negeri.
Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri tidak boleh menjadi Anggota
Majlis Raja-raja bagi maksud mesyuarat berhubung dengan pemilihan Yang
di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, melucutkan jawatan
Yang di-Pertuan Agong dan membincangkan mengenai keistimewaan Raja-raja.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah Anggota Majlis
Raja-raja. Baginda berangkat sebagai Ketua Negara Malaysia dan diiringi
oleh Y.A.B. Perdana Menteri sebagai penasihat Baginda.
Pengerusi bagi Mesyuarat Majlis Raja-raja adalah dipegang oleh kesemua
sembilan Raja Melayu secara bergilir-gilir. Hanya Raja Melayu yang
hakiki boleh mempengerusikan mesyuarat, yakni bukan seseorang Pemangku
Raja ataupun seseorang Yang di-Pertua Negeri.
Mesyuarat lazimnya diadakan tiga kali setahun tetapi Penyimpan Mohor
Besar Raja-raja hendaklah memanggil Mesyuarat Majlis Raja-raja apabila
dikehendaki berbuat demikian oleh Yang di-Pertuan Agong atau oleh tidak
kurang daripada tiga orang anggota Majlis ataupun tidak lewat daripada
empat minggu sebelum habis tempoh jawatan Yang di-Pertuan Agong dan juga
bilamana berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong atau
Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Semua Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri hadir sama selaku
penasihat kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang
Terutama Yang di-Pertua Negeri.
Sebagaimana diperuntukkan oleh Jadual V Perkara 38 Perlembagaan Pegawai
yang dilantik oleh Majlis Raja-raja sebagai Penyimpan Mohor Besar
Raja-raja adalah Setiausaha kepada Majlis Raja-raja.
Mesyuarat Majlis Raja-raja di Istana Negara atau di tempat-tempat lain
setelah dipersetujui oleh Majlis. Mesyuarat Majlis Raja-raja juga pernah
diadakan di luar Istana Negara.
Friday, 27 February 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment